Ahad, 6 September 2009

Suruhanjaya Pelantikan Kehakiman wajar dipertimbangkan

Sistem kehakiman di Malaysia baru-baru ini mengundang pelbagai polemik dari masyarakat dan badan bukan kerajaan. Pelbagai saranan dilontarkan bagi meningkatkan integriti badan itu termasuklah dari bekas Ketua Hakim Negara sendiri Yang Amat Arif Tun Dato’ Sri Ahmad Fairuz Dato’ Sheikh Abdul Halim. Idea-idea seperti sistem mahkamah perlu kembali kepada sistem juri, hakim yang buruk akhlaknya perlu meletak jawatan, penubuhan suruhanjaya perlantikan hakim dan sebagainya antara buah fikiran yang menunjukkan badan kehakiman begitu hampir di hati masyarakat.

Pembentukan sistem kerajaan yang demokratik telah mempraktikkan sejak lama 3 badan utama seperti badan eksekutif, legislatif dan kehakiman. Kewujudan badan kehakiman yang bebas dari mana-mana pihak menjadi tunjang utama bukti perundangan di dalam sesebuah negara berada dalam keadaan telus. Ulasan Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi untuk mengkaji semula penubuhan Suruhanjaya Kehakiman di Malaysia baru-baru ini juga menunjukkan betapa penting badan ini selain ia merupakan salah usaha memantapkan proses perlantikan hakim-hakim di Malaysia.

Idea asal penubuhan Suruhanjaya Kehakiman ini pernah di cadangkan Menteri Di Jabatan Perdana Menteri di dalam tahun 2000 yang ketika itu adalah Yang Berhormat Datuk Seri Dr. Rais Yatim.[1] Maklum balas dari badan profesional dan badan bukan kerajaan seperti Majlis Peguam Malaysia juga menunjukkan ianya satu usaha yang positif dalam meningkatkan lagi kewibawaan badan kehakiman di Malaysia. Namun ketika itu, kerajaan membuat keputusan Suruhanjaya Kehakiman ini tidak perlu memandangkan peruntukan Perlembagaan Persekutuan telah memperincikan secara jelas prosedur pemilihannya.[2]

Badan kehakiman di Malaysia hari ini bukan sekadar penting disebabkan fungsinya sebagai salah satu cabang dalam pembentukan negara yang demokratik tetapi peranannya perlulah diperakui dalam menyelesaikan pertikaian masalah di antara pihak yang bertelagah khususnya individu dan negeri-negeri. Justeru, proses pemilihan badan kehakiman yang telus dianggap penting dalam memastikan keadilan terlaksana.

Walaupun begitu, rakyat tidak pernah menafikan peruntukan Artikel 122 berkaitan pemilihan dan perlantikan hakim-hakim Mahkamah Tinggi, Mahkamah Rayuan dan Mahkamah Persekutuan. Perlantikan yang dibuat oleh Yang DiPertuan Agong dengan nasihat Perdana Menteri setelah mendapat maklumbalas Majlis Raja-Raja dan disarankankan Ketua Hakim Negara telah membuktikan tingginya kedudukan badan kehakiman di Malaysia.

Ini kerana hakim-hakim juga dipilih berasaskan peruntukan Artikel 123, Perlembagaan Persekutuan dimana hakim-hakim ini perlulah mempunyai pengalaman dalam bidang perundang-undangan lebih dari 10 tahun sebelum boleh dilantik. Dengan wujud klausa ini, secara tidak langsung ia membuktikan hakim-hakim yang terpilih mempunyai pengalaman yang cukup matang dalam profesion atau bidang tersebut.

Saranan pemilihan hakim-hakim melalui Suruhanjaya Kehakiman wajar dikaji dan dipertimbangkan berdasarkan pengalaman negara yang pernah mempraktikkannya. Pengalaman negara seperti Israel yang mempunyai Jawatankuasa Pemilihan Hakim yang terdiri daripada 3 orang hakim Mahkamah , 2 menteri, 2 orang ahli Parlimen Knesset dan 2 orang ahli Majlis Peguam Israel menunjukkan pemilihan yang ketat hakim-hakim di dalam negara tersebut. Pandangan dari badan eksekutif, badan legislatif dan wakil badan profesional undang-undang akan menjadikan pemilihan hakim mengambil kira dari pelbagai aspek dan segi, menjadi pertimbangan sebelum mereka dipilih. Secara tidak langsung, pemilihan hakim yang dipilih menunjukkan ketelusan dan keyakinan rakyat terhadap sistem tersebut agar ianya tidak dicabuli.

Sistem yang baik ini seharusnya tidak dipandang serong walaupun negara Israel sendiri mencabuli undang-undang antarabangsa iaitu menakluk Palestin namun apa yang lebih penting kebaikan sistem pemilihan tersebut dapat dipertimbangkan sebagai model untuk diimplementasikan. Selain itu, Pelan Missiouri juga boleh difikirkan caranya di mana hakim-hakim dipilih berasaskan merit dimana warganegara mempunyai hak untuk memilih hakim mereka. Sistem ‘Pelan Missiouri’ ini dikatakan telah diimplementasikan di 12 buah negeri di Amerika Syarikat dimana satu suruhanjaya kehakiman dilantik untuk melihat kertas pencalonan, menemuduga calon dan melantik ahli-ahli panel penemuduga. Sepertimana Suruhanjaya Pelantikan Kehakiman, suruhanjaya di bawah Missiouri Plan akan diketuai Ketua Hakim dan dianggotai hakim-hakim kanan, wakil peguam dan rakyat yang dilantik Gabenor. Sistem yang telah dipraktikkan sejak 1940 an ini kekal sehingga hari ini dan hanya dua orang hakim yang tidak diundi semula sepanjang sistem ini dipraktiskan.

Walau pun begitu, apa pun sistem yang dipakai di mana-mana negara, apa yang pasti kebebasan kehakiman menjadi titik persoalan utama. Sekiranya sistem yang sedia ada ini telah membuktikan keampuhannya sejak Malaysia merdeka pada tahun 1957 maka kita perlu kekal dengan cara dan gaya kita sendiri. Itulah yang telah diucapkan Tun Dr Mahathir Mohamad bila mana Malaysia perlu menjadi negara maju mengikut gaya dan acuan atau sistem kita. Oleh itu, apa yang lebih penting hari ini bagi mendepani masalah berkaitan badan kehakiman bukanlah kita menukar sistem tersebut secara keseluruhan tetapi seharusnya menambahbaik perjalanan sistem tersebut.

Analoginya cukup mudah, andai kata anak pokok pisang yang telah lama ditanam rosak disebabkan ulat di daunnya, adakah perlu kita membunuh keseluruhan pokok pisang tersebut? Begitu juga sistem pelantikan hakim yang telah kita amalkan, andai ia ada cacat celanya maka apa yang perlu kita buat menambah baik sistem yang ada dengan mengekalkannya bukannya membunuh sistem itu secara keseluruhannya.